Puisi Panjang Dari Pak Agi

Image result for gambar abdulghafaribrahim

Pak Agi masih terus menerus berkongsi dengan apa yang beliau kongsikan di Muka Bukunya kepada ku. Beliau menghantar mesej ini sekitar jam 4.36 petang.

Aku membukanya agak lewat ketika itu. Seingat aku hari itu aku kerja shif sebelah pagi. Bila Pak Agi menghantar mesej padaku, aku rasa gembira, kerana masih tidak pernah lupa padaku.

Sebagai peminatnya aku sangat menghargainya. Siapa yang tidak gembira bila seorang penyair mengirimkan pelbagai kisah dan cerita dikongsi bersama peminatanya.

Syukur!

Terima kasih Pak Agi, setiap mesej yang kau hantar pasti ada kebaikan yang aku perlu fikirkan.

Untuk hari ini (10/9/2017), Pak Agi mengirimkan kepadaku sebuah puisi panjang berkaitan kecintaannya kepada Tanah Air Malaysia sebagai kampong halaman yang sangat di cintainnya.

Penyair seorang yang sangat sayangkan negaranya dan bersifat petriotik. Nah! Sama-sama nikmati dan hayati puisi panjang beliau ini.

PUISI TAHUN 1966 INI KUKARANG SEMASA BERUMUR 23 TAHUN.INILAH MANIFESTASI CINTAKU PADA KAMPUNG HALAMAN MALAYSIAKU.

SUDILAH BACA PUISI TERPANJANGKU INI HINGGA HABIS.

GELINTAR JIWA ANAK KAMPUNG

pertama urat nadiku
ia jiwaku
lukisan perjuanganku.

kelahiranku
sudah bercorak
semestinyakah aku
menjadi pengikut setia
corak tua?

     tidak.tidak.tidak.

kampungku
bila lagi mahu mencetak
buku-buku baru?

     takut.takut.takut.

mengapa takut mencari diri sendiri?
kerana takut mencari diri sendiri
langsung tidak kenal diri sendiri.

     aku tidak boleh melihat
     orang penakut.

bila?

bila lahir pencipta
tapi takut menjadi perintis
langsung tidak tercipta sesuatu yang agung.

orang-orang
yang sedar akan tanggungjawaab
amat sedikit lahir
yang sedikit ini
kembara pula di tengah hari.

kecintaan kampungku
tiru meniru
tanpa pangkal hujung
suka mendabik dada
seperti orang gila tapi bukan gila
bersuara tinggi:
     aku mahu hidup
     aku cintakan kehidupan
     aku cintakan kehidupan
          tahu nilai kehidupan?

tanah ini kita yang punya.

di kanan
di kiri
di tengah
di depan
di belakang

     laut bukan berapi

ada jambatan merentang
runtuh di tangan anjing.

tanah ini satu asalnya
cuma berlainan rumah suci

jambatan runtuh sudah dibaiki
ranap pula di tangan sendiri.

     laut bukan beracun.

percaya,
jambatan dibaiki semula
biar kukuh ke zaman-zaman menanti
tanah ini bukan untuk diserah kepada anjing.

     apa?

     ke mana neraca jiwa     
     manusia?

ikhlas setia minta diamalkan.

bulan ini bulan kita
mandikan amalan dalam
cahayanya.

dari sudut hati.

orang cuma sanggup ketawa
mentertawakan diri sendiri
hakikat sebenar bukan mereka sedar.

menangis seorang diri
selebihnya memerhati riang.

pandai melakukan kesalahan
masih menuduh lagi
masih lagi mencari-cari
siapa melakukan kesalahan.

sememangnya senang menuduh orang
paling payah menuduh diri sendiri
bukan mahu menuduh diri sendiri.

mudah melihat kesalahan orang lain
kesalahan diri sendiri bukan hendak dilihat.

ada yang bercakap
percakapan itu bukan percakapan mereka
mereka menyambung percakapan orang lain
jadi,
hidup begini tidak dimahukan lagi.

     kampungku punya 
     sekangkang tanah.

ada tidak sedar nilai tanah
lalu mereka memajakkan tanah
lalu mereka menjualkan tanah
tinggal mereka tanpa bertanah.

mata terbuka itulah ada pula yang buta
memandang jauh tapi tersangkut di pinggir mata

nanti berlaku di hari tua
orang meninggi kampungku merendah juga

     apa nak dikata?

rumpun padi membuahkan
emas
terang tampak di mata
emas di kampung dirampas orang.

     apa dikata?

tak apa.tak apa.tak apa.

sudahlah.

aku anak kampung berdarah panas
tidak sanggup melihat ketempangan
tidak sanggup melihat  bunga kesabaran
lemah lembut kaya merendah diri.

     ini warisan basi
     barah kampungku
     bunuh ia
     bunuh ia hari ini.

jadi?

     masuk ke dalam barisan
lantas berdiri di hadapan
     bertindak tentu.

nanti dikata kurang ajar?

     kurang ajar kerana kemajuan
                biarkan.
kalau tidak bertindak
hari esok kampungku
rebah

rebah di kaki orang-orang
berfikiran salah
pemilik nafsu menghamba
kepuasan puncak khianatnya.

     gelintar jiwa anak
     kampung
          melihat jalanan
          di belakangnya
               mencermin
               jalanan
               di mukanya.

apa yang aku fikirkan ialah apa yang aku susahkan
bukan senang
menyelesaikan benang
kusut.

sedang orang-orang
kampungku disapu ribut

ada cendekiawan-
cendekiawan gantungan
harapan
rakus meneguk bayang
hitam.

siapa lagi berhak
menolong diri sendiri
kalau bukan diri
sendiri?
aku susahkan esok

kerana cintaku
pembangunan semesta
dalam luar

     zaman baru
     kampungku
     duniaku.

puncak urat nadiku:
     hari ini apa yang aku
     susahkan ialah esok.

abdul ghafar ibrahim
Kulim, kedah
1966.


(Yang Yang/That's That.2009.Kuala Lumpur:ITBM.
Terjemahan Inggeris:Harry Aveling )

Comments

Popular posts from this blog

Syair: Perpaduan

Pantun Perpaduan

Sajak: Perpaduan Sejati Bukan Mimpi