Kenangan Lalu Dan Terus Menulis

Gambar: Google Image



Bila aku imbau kembali dulu-dulu, aku memang suka mencoretkan apa-apa sahaja tulisan di mana-mana kertas kosong dan buku nota, apa-apa sahaja, adakalanya luahan hati berbentuk puisi tapi tidak puitis pun. Ia sekadar luahan hati ketika itu. Sesekali cuba menulis cerpen tetapi masa itu tidak terfikir pun untuk cuba menulis dengan serius, aku masih simpan lagi tulisan tersebut, aku tulis waktu itu di dalam kertas lukisan, bila aku cuba baca kembali waktu ini, terasa ruginyalah,mengapalah aku tidak punyai kesedaran tentang aktiviti penulisan.

Biarkanlah yang berlalu...kini biar sudah berusia empat puluh tahun, baharu terasa ingin untuk menulis apa-apa sahaja terbuku di hati, kenangan-kenanagn lalu, aku ingin coretkan kembali, selagi ada daya dan kudrat ini. Impian dan cita-cita untuk menulis memoir pribadi hingga kini masih belum dapat dilunaskan, masih banyak lagi perlu diteruskan penulisannya. Insyallah, aku akan cuba sambung penulisannya nanti, asyik-asyik tergendala. Aku kena tanamkan cita-cita dan impian sungguh-sungguh, jika mahu melihat hasil penulisanku ini benar-benar terjadi. Umur bukan halanganya jika ia benar-benar mahu direalisasikannya.

Ya, itulah cita-cita dan impian ku, mulai hari ini aku mesti sambung semula penulisan tentang memoir insan biasa. Mesti dan mesti aku buktikan untuk diriku sendiri. Biar apa pun halangannya aku akan usahakan penulisannya serba sedikit mulai hari ini. “Ya Rabb...bantulah hamba-Mu yang lemah ini, berkat ramadhan yang mulia ini”..., aku berdoa agar ianya akan terlaksana nanti. Kembali pada perjalanan penulisanku ini, ia bukan mudah, ada pasang surutnya, seperti yang telah aku tuliskan dalam penulisan yang lalu, semuanya kena ada semangat, semangat yang sunguh-sungguh bukan main-main.

Ya, sungguh-sungguh, bukan hanya main-main, biar hanya menulis di blog pribadi dan menulis di Portal Esastera.com sekalipun, ia juga merupakan detik perjalanan penulisanku yang indah, catatan ini merupakan catatan perjalanan dunia penulisanku, penulis kecil di blog, tiada nama, bermula suka-suka kini menjadi suka. Catatan ini pada satu waktu akan dibaca oleh anak-anakku, biar mereka tahu, bapa mereka rupanya seorang penulis kecil di blog, mungkin mereka boleh menyambung cita-cita dan impian bapanya.

Biarpun ada pasang surutnya, aku akan teruskan juga kerja-kerja pertukangan penulisanku, dibaca orang atau tidak aku tidak peduli lagi, selagi ada daya akan ku coretkan apa sahaja, dalam bentuk tulisan biasa atau dalam bentuk puisi. Jiwa sasteraku dan jiwa siasahku berpadu bersatu. Adakalanya tulisan puisiku lebih vokal tentang kepincangan pemerintah, gejala fitnah, rasuah, dan politik cacamarba menjadi tulisan puisi protesku. Semua itu dituliskan semata-mata mahu memberi rangsangan kesedaran kepada khalayak yang membacanya agar tahu betapa bobroknya sistem politik yang wujug sekarang.

Salahkan aku menulis begitu?. Selagi masih tidak melanggar norma-norma yang digariskan oleh perlembagaan negara, aku akan tetap menulis sebahagian puisiku berbentuk protes, protes untuk kebaikan, protes untuk memberi kefahaman kepada khalayak. Aku sayangkan negaraku tanahairku, aku tidak mahu tanah airku punah ranah dek’ kerana percaturan politik yang salah. Tidak semua orang mahu, aku yakin ramai yang sependapat denganku.

Melalui penulisan, aku mahu menyedarkan rakyat, mahu menyedarkan umat Islam, agar kembali pada yang haq, pada kebenaran yang mutlak, pada kalimah suci ‘SYAHADAH’. Menulis hanya yang baik-baik, agar rakyat terdidik, bukan menulis untuk membodek, nanti binasa masyarakat rugi akhirnya. Itu tanggungjawab semua penulis termasuk penulis kecil seperti aku. Pada akhirnya nanti, hasil dari penulisan yang ditulis, akan memberi kesan mendalam kepada masyarakat seluruhnya. Dan sudah pastinya, tulisan yang aku tulis nanti akan dipertanggungjawabkan di akhirat nanti.

Mudah-mudahan perjalanan penulisanku terus dirahmati dan diredahi Allah SWT selalu...

bersambung...



Comments

Popular posts from this blog

Syair: Perpaduan

Pantun Perpaduan

Sajak: Perpaduan Sejati Bukan Mimpi