Menulis Di Blog Buku Nota Juga Penting




Perjalanan penulisanku masih panjang, selagi ada lagi hayat di kandung badan, usia masih dipunyai, Insyallah liku-liku perjalanan ini akan ku lalui dengan tabah dan sabar. Setiap onak dan duri pasti aku akan lalui, aku hanya penulis kecil yang hanya mahu menulis, menulis dan menulis. Semenjak mengenali dunia blog 2009, minat untuk menulis mulai menjalar keseluruh tubuh ini. Ingin memiliki blog sendiri waktu itu sangat membuak-buak, ketika itu tidak pandai untuk membina blog, melalui blogspot apatah lagi wordpress.

Aku mula melayari beberapa blog-blog panduan untuk membina blog, cuba memahami bagaimana blog dibina. Membaca entri-entri yang berkaitan pembinaan blog, adakalanya aku copy paste entri yang berkaitan untuk panduan aku membina sebuah blog pribadi. Untuk lebih puas hati, aku mencari buku-buku yang berkaitan dengan pembinaah sebuah blog. Aku membeli sebuah buku hasil tulisan Ani Nadila, penulis di Majalah PC, terbitan Karangkraf.

Buku tersebut khusus untuk kaum hawa sebenarnya, tetapi kerana kandungannya yang ringkas, padat, dan mudah untuk dijadikan panduan membina blog, aku beli sahaja buku tersebut, tanpa memperdulikan kepada siapa buku tersebut dikhususukan. Bagi aku ia sesuai juga untuk aku yang baharu berjinak-jinak menguasai dunia blog dan seterusnya menjadi seorang blogger. Walaupun ia sekadar  ‘basic’, tetapi ia amat mudah untuk panduan aku membina blog pertamaku.

Akhirnya, impianku untuk mempunyai blog pribadi sendiri telah tercapai, bermulalah aku menjadi blogger dan menjadi penulis kecil di blog yang aku bina. Maka wujudlah blog pertamaku yang mengambil sempena nama anakku yang pertama, iaitu blog ‘Nur Dania Balqis-Permata Hati Abi dan Umi. Waktu itu, semangat menulis berputik dan berkobar-kobar sekali, pantang ada apa sahaja cerita berkaitan anakku, aku tuliskan ke dalam blog. Untuk aku kongsikan kepada teman-teman yang berkunjung ke blog tersebut. Tidak perlulah aku ceritakan kembali, kerana aku sudah nukilkan cerita tersebut pada penulisan yang lalu.

Lama-kelamaan, hasil belajar dan terus belajar, aku dapat menghias blog pertama itu dengan pelbagai gadjet sampingan, dari jamnya, kalendar, dan sebagainya. Namun begitu, tidaklah sehebat sahabat-sahabat blogger yang lain. Sebenarnya bukanlah hiasan blog yang diutamakan.

Penting dari itu adalah perkongsian yang mahu diberikan kepada mereka. Entri-entri yang menarik, biar ringkas dan tidak panjang berjela-jela. Waktu itu sekadar beberapa perenggan sudah cukup untuk dibaca, ditambah dengan gambar-gambar yang menarik. Untuk mendapatkan idea penulisan aku menyediakan buku nota. Untuk mengelakkan, blog kosong dari sebarang cerita baharu.

Aku akan catatakan ke dalam buku nota yang aku sediakan yang adakalanya sentiasa di kocek seluarku, bila ke mana-mana pergi. Aku akan tuliskan ke dalam buku nota tersebut, apa-apa perkara yang berlaku pada hari tersebut tentang anakku dan juga program yang aku ikuti jika ada, sebelum aku olah menjadi entri untuk diterbitkan ke dalam blog. Itu gunanya buku nota, bila ada apa-apa yang terlintas difikiran, kita boleh cepat-cepat ambil dan terus tuliskannya. Sehingga hari ini aku lakukannya, bila ke tempat kerja, aku biasakan ada dua buah buku nota yang aku sediakan.

Untuk  buku nota yang pertama, aku khususkan untuk apa-apa idea yang datang di benakku ketika itu. Kadang-kadang aku menulis sajakku di kilang, idea ketika ditempat kerja, dengan adanya buku nota tersebut, aku dengan mudah dan cepat menulisnya ketika itu juga, maka tak hilanglah idea yang aku dapat. Untuk buku nota kedua, aku untukkan catatan apa yang berlaku di tempat kerjaku.

Maklum sahaja menjadi ketua kecil di kilang, macam-macam perangai manusia dapat dilihat, bekerja bertahun-tahun tetapi masih tidak ada sikap tanggungjawab ke atas kerja yang dilakukannya. Untuk buku nota kedua ini, aku lebih banyak menulis tingkah laku pekerja, kalau mahu diceritakan di sini, amat banyak sekali, biarkanlah dulu...

Buku nota ini, antara petua yang pernah aku dengar dan baca untuk mencatat apa sahaja idea yang datang di kepala kita, semasa kursus penulisan pada tahun 2013 juga, penulis, pelukis, tokoh budayawan yang juga penyair, iaitu Dr.Ibrahim Ghafar, telah memberikan tip-tip penulisannya, antaranya buku nota, akan sentiasa ada di koceknya bagi mencatat, apa sahaja idea yang timbul di benaknya. Untuk catatan perjalanan penulisan seterusnya nanti, aku akan ceritakan dan perturunkan tip-tip tersebut, selain buku nota.


Semoga catatan ringkas ini ada manfaat dan ibrahnya...

Comments

Popular posts from this blog

Syair: Perpaduan

Pantun Perpaduan

Sajak: Perpaduan Sejati Bukan Mimpi