Sajak: Bahagia Kita Bahagia Mereka



Bahagia Kita Bahagia Mereka

Damai indah berhari raya
di bumi bertuah lagi tercinta
usah sesekali dicemari aman negara
dengan segala noda nista porak peranda.

Syukuri nikmat keamanan negara sejahtera
kekalkan keindahannya jua kemerdekaannya
jangan sesekali dicemari perkara keji durjana
kelak derita rakyat sengsara ambil iktibar di sana.

Dalam kita meraikan hari raya penuh gembira
jangan sesekali dilupa kita alpa pada mereka
kehidupan sengsara derita duka pilu pula
saudara-saudara kita di sana sedang merana.

Doakan agar mereka beroleh kemenangan bercahaya
tanah air mereka bebas dari kuasa zalim celaka
segera hancur lebur musnah terkubur rejim gila kuasa
segera pula pertolongan Yang Maha Kuasa  menuju jaya.

Kita gembira di sini mercun sini sana
mereka berdentum-dentum bunyi bom menimpa
namun kita jangan terus lupa dan leka sahaja
beringat-ingat sebelum kena takut nanti derita menjelma.

Berhari raya kita dengan rasa syukur pada Maha Kuasa
kerna Dia Maha Pemberi yang kita rasa
justeru itu, banyakkan berdoa penuh harapan bersama
agar kita bahagia mereka jua turut bahagia.

Masshah 2014
30072014
Meru.


Comments

Popular posts from this blog

Syair: Perpaduan

Pantun Perpaduan

Sajak: Perpaduan Sejati Bukan Mimpi