Menulis Di Blog Masjid

MASJID AT-TAQWA BUKIT KAPAR
Blog Masjid At-Taqwa Bukit Kapar

Sekitar tahun 2009, aku banyak mengikuti aktiviti di Masjid At-Taqwa Kampung Bukit Kapar, apa sahaja program dijalankan aku akan hadir untuk mengambil manfaat dari program tersebut. Adakalanya aku akan mengambil gambar setiap program yang dijalankan untuk koleksi sendiri, sesekali aku akan terbitkan di dalam blog Nur Dania Balqis sebagai dairi aktiviti harian ku. Mungkin dari keaktifanku itu, ada mata-mata memandang tentang diriku ini.

Satu masa Ustaz Khalid sebagai timbalan setiausaha masjid telah cuba meminta pandanganku, bagaimana kalau dia mahu melantik aku menjadi sebahagian ajk masjid. Aku tidak setuju, aku mahu bebas dari sebarang jawatan, lagi pun taraf ilmuku tidak tinggi mana untuk dilantik sebagai ajk masjid, maklum sahaja, ajk masjid, masjid tu..., aku berpendapat tentang masjid biarlah orang-orang agama yang memegang jawatan ajk, mereka lebih layak dan lebih ilmunya.

Namun kuasa Allah SWT, tidak siapa yang mampu melawannya, entah mengapa tiba-tiba aku dilantik menjadi pengerusi Biro Pena Dan Penerbitan, mengantikan tempat Ustaz Hizam, beliau telah dilantik menjadi Biro Ekonomi. Maka bermulalah detik aku menjadi sebahagian dari orang masjid. Menjadi pengerusi Biro Pena Dan Penerbitan, mungkin kerana mereka melihat aku cenderung kepada dunia blog. Tuan Nazir ketika itu, Ustaz Faryzan Subhi, sudah tahu yang aku ada menulis di blog. Mungkin salah satu sebab aku dilantik dan mungkin sesuai untuk jawatan tersebut.

Sebelum itu, memang aku sudah membina blog masjid dan menulis apa-apa sahaja aktiviti masjid yang telah dijalankan, itu atas saranan Ustaz Khalid, waktu itu aku melaksanakan tugas dengan sukarela, atas nama khidmat bakti untuk menuntut redha Ilahi. Bila sudah dilantik ke jawatan pengerusi biro, tanpa alasan lagi, aku akur dengan kehendak mereka, tidak boleh ditolak, mahu tidak mahu aku harus melaksanakan tugas itu dengan penuh amanah dan jujur, waktu itu. Mulalah aku, aktif menulis berita aktiviti masjid di dalam blog masjid.

Apa sahaja aktiviti, jika waktu kerja aku mengizinkan (kerja shift), aku akan ikuti, aku tulis berita, mengambil gambar-gambar aktiviti tersebut, kerja-kerja menulis dan mengedit gambar sudah menjadi rutin aku, biasanya aku lebih banyak melakukan kerja-kerja tersebut dalam waktu malam, bila aku kerja shift petang. Selesai semuanya aku akan terus menerbitkan berita aktiviti masjid ke dalam blog. Selain blog aku juga mentadbir facebook masjid yang aku bina, biasanya aku lebih banyak menulis memberi info tentang jadual kuliah masjid.

Satu masa pihak Nazir meminta aku menerbitkan risalah, untuk edaran setiap jumaat setiap minggu, tugas aku semakin bertambah, aku cuba usahakan, ini juga usaha dakwah melalui penulisan. Aku cuba  merealitikan penerbitan risalah tersebut, syukur, berkat kesabaranku aku berjaya melakukannya. Keluaran pertama Tuan Nazir telah menerbitkan terlebih dahulu, selepas itu, setiap minggu kedua dan minggu keempat  aku cuba menerbitkan risalah tersebut. Untuk risalah dua muka surat, tidak semestinya padat dengan tulisan, biasanya pada muka surat utama, aku akan meletakan tulisan-tulisan berkaitan dengan agama, manakala muka surat kedua belakang aku letakkan gambar-gambar aktiviti masjid yang telah dijalankan. Juga sedikit info tentang kuliah-kuliah yang bakal akan diadakan.

Setiap petang rabu atau khamis aku akan ke kedai fotostet, untuk mencetak risalah tersebut, sekitar 500 keping aku cetak, untuk edaran hari jumaat. Rasa seronok dan syukur bila risalah yang dibuat dapat diterbitkan. Aku akan hantar risalah-risalah tersebut pada hari jumaat sekitar jam dua belas tengah hari. Sebahagian aku letak di tempat bekas risalah, dan sebahagiannya aku akan letak di pondok wakaf, untuk di edarkan oleh muslimah yang bertugas pada hari itu. Untuk tulisan-tulisan di dalam risalah tersebut, aku lebih banyak merujuk dalam portal I luv Islam dan portal yang berkaitan.

Dari sehari ke sehari, aku semakin bersemangat, menulis di blog, facebook, dan risalah telah dapat dilakukan dengan senang hati, walaupun sesekali timbul kekalutan, tapi dapat diatasi dengan tenang. Dari satu risalah aku tambah dengan risalah terbitan khas, setiap kali hari kebesaran Islam menjelang aku akan membuat risalah khas, seperti Maulidurasul, Israk Mikraj, Awal Muharam, dan lain-lain lagi. Adakalanya, terbit pada waktu yang sama dengan risalah edaran untuk hari jumaat. Aku akan kepilkan sekali dengan risalah tersebut. Segalanya diniatkan berdakwah melalui risalah semata-mata.

Namun sedikit terkilan melihat sikap segelintir masyarakat yang seolah tidak peka dan tidak prihatin berkaitan dengan risalah tersebut, maklum sahaja risalah tersebut di masukkan ke dalam bakul motor atau kadangkala diselitkan pada pintu kereta mereka, mereka tidak mengambilnya dan membiarkan terbang jatuh begitu sahaja tanpa dikutip semula. Adakalanya kelihatan di tepi-tepi jalan di sepanjang kanan kiri jalan risalah tersebut jatuh dari motor dibiarkan sahaja. Kadang-kadang aku membebel sendiri melihat perangai segelintir daripada mereka. Susah sangatkah untuk mengambil dan melipatnya masukkan dalam poket?.

Perkara tersebut tidak membuatkan aku putus asa, bagi aku itu asam garam dalam perjuangan, maklum risalah dakwah, bukan semua orang mahu terima, itulah ibaratnya, agak akulah, aku terus bersemangat untuk menerbitkan risalah tersebut, biarpun peratus yang mengambil risalah tersebut agak kurang memberangsangkan. Aku tidak pandang belakang, tugas tetap tugas. Dalam hati ketika itu hanya berdoa semoga segelintir sikap daripada mereka berubah dan menghargai usaha-usaha pihak masjid dalam penyampaian dakwah melalui risalah.

Usaha selanjutnya, bila aku diarahkan oleh Tuan Nazir untuk menerbitkan Buletin masjid, beberapa kali mesyuarat diadakan untuk menerbitkan buletin tersebut, satu jawatankuasa bagi mengetui penerbitan itu telah ditubuhkan. Masing-masing diberi tugas untuk mencari bahan-bahan pengisian untuk buletin tersebut. Sekurang-kurangnya dua kali akan diterbitkan dalam setahun, begitulah pada awal mulanya perancangan tersebut.

Aku pun bersemangat untuk mencari bahan pengisian buletin, aku dan farid telah ditugaskan untuk mencari bahan untuk segmen belangsukawa, bekas ketua kampung merangkap imam Masjid At-Taqwa pada ketika itu. Itu semua mahu dimasukkan dalam buletin tersebut. Paling mencabar, aku ditugaskan juga untuk mencari bahan tentang sejarah penubuhan dan pembinaan Masjid At-Taqwa Bukit Kapar. Pada mulanya aku agak sukar untuk mencari data-data, maklumat dan sebagainya, tapi syukur tak terhingga, bila Ustaz Khalid menyarankan agar bertemu Dr.Ibrahim Ghafar, menurutnya beliau telah mendokumentasikan sejarah tersebut.

Akhirnya, dapat juga aku sejarah berkaitan Masjid At-Taqwa Bukit Kapar, kerisauan itu hilang serta merta, kini tinggal sahaja membuat dalam bentuk buletin. Dari sehari ke sehari cuba melakukan, sesekali berhenti dan seterusnya...akhirnya...., namun sehingga aku tidak lagi menjadi ketua biro, buletin ini masih belum diterbitkan lagi. Draf bentuk buletin tersebut masih dalam simpanan aku. Aku gagal menyempurnakan tugas penerbitan buletin tersebut. Apa pun itu semua telah menjadi detik kenangan yang lalu perjalanan penulisanku itu.

Begitulah serba sedikit perjalanan penulisanku sepanjang terlibat di Masjid At-Taqwa Kampung Bukit Kapar sebagai Ketua Biro Pena Dan Penerbitan.

bersambung...



Comments

Popular posts from this blog

Syair: Perpaduan

Pantun Perpaduan

Sajak: Perpaduan Sejati Bukan Mimpi