Nota Ramadan: Jumaat Kedua Ramadan 1436H

Masjid At-Taqwa Bukit Kapar


Cepatnya masa berlalu,diam tak diam Ramadan sudah mahu habis satu fasa, bagaimana dengan aktiviti bulan Ramadan kita ya, harap-harap semakin bersemangat untuk terus merai ganjaran yang berlipat ganda.

Sekejap sahaja sudah masuk hari jumaat, jumaat kedua dalam bulan Ramadan. Minggu ini, aku kerja sif pagi, tiada halangan untuk menunaikan solat jumaat, seperti biasa rehat tengah hariku sekitar jam 12.30 minit sehingga jam 2.30 minit petang.

Hari ini hampir-hampir sahaja terbabas, sampai di rumah sahaja aku terus berehat sekejap, melelapkan mata yang sangat mengantuk, tersedar-sedar jam sudah menunjukkan jam 1.15 minit petang, tanpa berlengah terus ke bilik mandi, selesai segala urusan berkemas, terus menuju ke masjid.

Hari ini, aku bersolat di Masjid At-Taqwa Kampung Bukit Kapar. Seperti biasa aku mengambil tempat di bahagian tingkat atas. Walaupun agak bising dengan karenah budak-budak, aku tetap setia duduk di bahagian atas,

Seperti biasa khutbah dibacakan oleh khatib yang bertugas pada hari ini, iaitu Ustaz Hasal Bin Senin. Khutbah yang lancar, pendek, padat dan menarik. Menarik kerana khutbah hari ini membawakan tajuk ‘Membaca Ke arah Membentuk Iman Dan Taqwa’. Untuk keseluruhan isi tajuk khutbah, nanti aku sertakan alamat ke halaman Portal Masjid, untuk memuat turun khutbah tersebut.

Aku kongsikan sedikit daripada pengisian khutbah tersebut di bawah ini:

“Amalan membaca ini boleh dikira sebagai ibadah sekiranya dimulai dengan niat kerana Allah. Malah, ia diganjari dengan pahala berganda sekiranya apa yang dibaca dapat membantu kita mendalami ilmu-ilmu agama.

Bacalah al-qur’an kerana ia memberikan ketenangan kepada hati-hati yang kusut. Dalamilah maknanya supaya kita mampu menyingkap pelbagai disiplin ilmu. Untuk itu saya berpesan kepada diri saya dan tuan-tuan untuk mengamalkan perkara berikut dalam kehidupan seharian kita.

Pertama: Bacalah al-Qur’an dan hadis Nabi SAW pada setiap masa. Berjihadlah bersungguh-sungguh untuk mempelajari, menghayati dan melaksanakan isi kandungannya dalam kehidupan seharian kita.

Kedua: Belanjakanlah sedikit peruntukkan daripada sumber kewangan kita untuk membeli bahan bahan bacaan agama untuk meningkatkan kefahaman terhadap agama kita.

Ketiga: Ibu bapa perlu menggalakkan anak-anak untuk membaca bahan bacaan berfaedah, kerana merekalah diletakkan separuh harapan sebagai pejuang agama masa kini dan masa hadapan.

Keempat: Pihak masjid dan institusi masyarakat digalakkan menganjurkan program-program seperti bedah buku dan amat perlu diperhebatkan lagi kerana ia akan melahirkan masyarakat yang minat membaca.

Kelima: Pihak masjid, surau, balai raya dan rumah-rumah hendaklah mewujudkan pusat sumber mini untuk menggalakkan aktiviti membaca kepada seluruh ahli masyarakat.”

Dalam Ramadan yang agung ini, jangan pula lupa untuk memperbanyakkan membaca al-quran, disamping membaca buku-buku yang bermanfaat untuk diri kita. Justeru itu, amalan membaca jangan sesekali kita abaikan, ia merupakan amalan yang sangat digalakkan dalam agama Islam. Puasa bukan alasan untuk kita tidak membaca.

Semoga Allah menerima amalan membaca kita sebagai satu ibadah.


Amin Ya Rabb…!

Comments

Popular posts from this blog

Syair: Perpaduan

Pantun Perpaduan

Sajak: Perpaduan Sejati Bukan Mimpi