Nota Ramadan: Sahur Dan Berbuka



Alhamdulillah, segala puji hanya untuk-Nya Yang Maha Baik. Dia yang meminjamkan segala apa-apa yang ada pada diri ini. Segalanya adalah milik-Nya. Sebagai peminjam sementara, sudah semestinya aku mesti mensyukuri segala nikmat yang diberikan kepada ku.

Nikmat berpuasa dibulan Ramadan yang agung ini, merupakan anugerah kepada hamba-hamba-Nya yang mahu merebut ganjaran yang berlipat ganda yang dijanjikan. Puasa bukan sekadar menahan lapar dan dahaga semata-mata, lebih dari itu, zahir dan batin sewajarnya turut berpuasa.

Menjauhi segala perkara yang boleh mengurangkan pahala ibadah berpuasa. Bukan sekadar ibadah puasa, tetapi ibadah yang lain-lain. Zahir dan batin turut sama-sama berpuasa. Untuk ingatan diriku, agar tidak lalai dalam mengerjakan ibadah puasa, sentiasa berzikir kepada-Nya.

Bersahur



Hari pertama berpuasa, dimulai dengan niat berpuasa, ingat niat kita berpuasa semata-mata hanya kerana Allah S.W.T, tidak untuk yang lain. Sebelum subuh, digalakkan bersahur. Apa-apa sahaja makanan yang halal, yang penting sahur mesti dilaksanakan.

Memang berat untuk bangun pagi, lebih-lebih lagi untuk makan pagi, aku memang susah mahu makan waktu sahur, aku paksa diriku walau sikit macam mana pun tetap akan makan. Pagi pertama bersahur berjaya dilaksanakan, harapanya akan terus dilaksanakan. Di dalam sahur ada barakahnya. Rugi rasanya jika ditinggalkan.

Sabda Nabi SAW;

“Barakah ada dalam tiga perkara: Al-Jamaah (tidak meninggalkan Jemaah Muslimin), bubur dan sahur”- Hadis riwayat al-Tabarani dalam Mu’jam al-Kabir.

Lagi satu perkara tentang sahur ni, dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Muslim, ada menyatakan, Nabi saw bersabda yang bermaksud;

“Beza antara puasa kita dan puasa ahli kitab ialah makan sahur.”

Nah, fikir-fikirkan sendiri, takkan kita mahu sama dengan ahli kitab, harus ada perbezaan jika kita tidak mahu tergolong sama dengan ahli kitab. Jadi, paksa-paksakan diri mesti bangun, untuk makan sahur. Takkan nilai puasa yang kita kerjakan mahu disamakan dengan puasa orang kafir, sendiri ingat, sendiri fikir.

Dalam bersahur juga digalakkan melewatkannya, Nabi saw ada menyebutnya dalam sabdanya;

“Kami makan sahur bersama Nabi saw, kemudian baginda berdiri untuk solat. Aku berkata:Berapa lama antara azan dan sahur?’. Beliau menjawab: “Kira-kira (membaca) 50 ayat.”-Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim.

Semoga sahur ku diterima Allah S.W.T.

Berbuka




“Ya Allah Ya Tuhanku,aku berpuasa untuk-MU dan atas rezeki-MU aku berbuka, hilanglah segala kehausan dan diduga dengan keletihan dan akan berkekalan balasan pahala dengan izin Allah SWT.”

Doa diatas diamalkan oleh Rasulullah apabila masuk waktu berbuka puasa.

Jika bersahur digalakan melewatkan sahur, berbuka pula amat digalakkan bersegera berbuka. Bab makan, semua nak cepat ha…ha…ha.... Namun dalam bab berbuka segera, memang sudah diperkatakan Junjungan Mulia Nabi saw, dalam sebuah hadis yang bermaksud;

“Manusia akan sentiasa berada dalam kebaikan selagi mereka sentiasa menyegerakan berbuka.”- Hadis riwayat al-Bukhari dan muslim.

Buka puasa hari pertama, aku dan familiku berpuasa di rumah emak, maklum hari pertama, aku mahu melihat kemeriahan bersama keluargaku. Alhamdulillah, masih ada emak dan bapa, berbuka bersama mereka. Walaupun tidak ramai yang balik, namun aku tetap gembira dan bersyukur, masih dapat berbuka sama-sama emak dan bapak pada hari puasa pertama.

Melihat wajah mereka satu persatu, terasa sayu, maklum, mereka semakin tua, bapak semakin uzur, di hati, hanya berdoa untuk kedua-duanya. Moga mereka terus diberi kesihatan dan usia yang berkat. Diampunkan dosa-dosanya, hanya doa yang aku mampu hadiahkan kepada  kedua-dua emak dan bapak.

Selesai berbuka, aku segera bersolat, maklum, kerja sif petang. Ada tanggungjawab ditempat kerja yang perlu dilaksanakan. Aku buat termampu bila sif petang, solat terwih pun di surau kilang. Apa yang penting bagi aku, berbuat, kerana itu bukan alasannya untuk tidak berterawih, walau sendirian.

Semoga puasa hari pertamaku diterima oleh Allah S.W.T.

Amin Ya Rabb…!



Comments

Popular posts from this blog

Syair: Perpaduan

Pantun Perpaduan

Sajak: Perpaduan Sejati Bukan Mimpi