Nota Ramadan: Kecemerlangan Anak-Anak


Alhamdulillah, segala puji bagi Allah S.W.T, yang melimpahkan nikmat yang amat banyaknya, hingga tidak terhitung jika kita mahu menghitungnya. Salam selawat ke atas Junjungan Mulia Nabi saw, keluarga, para sahabat dan seluruh umat Islam. Ramadan indah terus bersinar dengan cahaya terang benderang.

Beruntunglah kepada sesiapa yang terus memanfaatkan kebesaran bulan agung ini. Semoga diri ini juga termasuk dikalangan orang yang beruntung, tidak mensia-siakan kehadiran Ramadan.

Walaupun berpuasa disiang harinya kita tetap melakukan aktiviti harian, yang berkerja akan tetap berkerja, melakukan kerja atau yang seumpamanya, bukan alasan untuk tidak berpuasa, kecualilah mereka yang benar-benar uzur tidak mampu berpuasa, dengan izin syariat.


Aku yang segar bugar, sihat sejahtera takkan tidak berpuasa pula, begitu dengan sahabat semua. Bukan alasannya tidak berpuasa. Puasa tetap berpuasa kerana ia kewajiban yang mesti ditunaikan.

Firman Allah S.W.T;

"Dan kalau kalian puasa itu lebih baik bagi kalian kalau kalian mengetahui."

(Al-Baqarah:184)





Kecemerlangan Anak-Anak

Aktiviti hari kedua berpuasa, hari ini, ke sekolah tempat kedua anakku bersekolah. Tujuan ke sana untuk menandatangani laporan rekod kad, keputusan peperiksaan penggal kedua. Mereka berdua bersekolah di tempat yang sama, maka mudahlah untuk aku. Satu tempat, satu jalan, senang.

Sekitar jam sepuluh lebih, aku ke sekolah,nampaknya tinggal beberapa pelajar sahaja. Biasanya ibu bapa yang datang menandatangani rekod kad, akan terus diizinkan mengambil anaknya pulang. Teringat semasa aku darjah satu dulu, semasa bapak datang. Kedatangan ibu bapa memang amat digalakan oleh pihak sekolah.

Mereka akan memberitauh prestasi murid-murid dan lain-lain perkara. Bagi aku, baguslah ia terus dilaksanakan, ia akan mengeratkan antara guru, murid dan ibu bapa. Syukur, sampai sekarang perkara ini masih terus diamalkan.

Guru kelas anakku menunjukkan laporan prestasi anakku yang pertama, Nur Dania Balqis, aku perhati satu demi satu keputusan yang diperolehi. Terima kasih kepada guru yang mengajar dan mendidik anakku, tanpa mereka dan pengorbanan guru-guru, mana mungkin anak-anak kita boleh beroleh kepandaian dan kecemerlangan.

Tahniah kepada anakku Nur Dania Balqis, kerana menduduki tempat pertama dalam kelas dari 25 murid. Semoga kecemerlangan yang diperolehi akan memberi suntikan semangat kepadanya, untuk terus cemerlang di masa hadapan. Selepasa mengucapkan terima kasih kepada guru kelas anakku, aku terus ke bilik kelas sebelah, untuk bertemu guru kelas anak yang kedua, Muhammad Anas.

Keputusan Muhammad Anas juga tidak menghampakan, aku perhati satu persatu laporan rekod kad. Kata guru kelasnya, Muhammad Anas seorang pemalu, tidak banyak bercakap, bila dengan kawan-kawan baru nampak aktif bercakap. Aku teringatkan diriku pada masa lalu, aku juga seorang yang pemalu dan pendiam bila di dalam kelas…kik3, rupanya diwarisi sikapku kepada anakku yang kedua ini. Selepas mengucapkan terima kasih kepada guru kelas, kami terus pulang ke rumah.

Dalam hati hanya mengucapkan kesyukuran tak terhingga kepada Tuhan Yang Maha Hebat, harapanku semoga anak-anakku semua menjadi anak-anak yang soleh dan solehah. Bukan setakat pandai dalam akdemik tetapi lebih dari itu, pandai agama dan mengamalkannya nanti…Amin Ya Rabb…!.

Aku teringat sebuah maksud hadis;

“Anak-anak ibarat kain putih, ibu bapalah yang mencorakkan mereka, sama ada nasrani, yahudi atau majusi…”

Ya, aku berjanji dengan diriku, di bulan yang agung ini, aku akan mendidik anak-anakku dengan sebaik-baiknya. Agama akan memandu kehidupan mereka pada masa akan datang. Itu semua terpikul dipundak aku sebagai ketua keluarga.

“Ya Rabb…bantulah hamba yang lemah ini dalam mengharungi kehidupan, dalam mendidik anak-anakku, agar redo dan rahmat-Mu sentiasa di sisiku…”, bisik hatiku berdoa.

Dan, semoga firman Allah S.W.T di bawah akan mengingatkan aku tentang peri pentingnya aku dalam mendidik ahli keluargaku, agar terhindar dari bakaran api Neraka, Wali’uzubillah.

“Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah diri kamu dan ahli keluarga kamu dari api Neraka”

(Surah at-Tahrim 66:6)


Amin Ya Rabb…!

Comments

Popular posts from this blog

Syair: Perpaduan

Pantun Perpaduan

Sajak: Perpaduan Sejati Bukan Mimpi