Nota Ramadan: Program Malam Puisi Dinihari Di Sanggar Damai Abadi



Ramadan bulan agung, bulan yang di dalamnya penuh dengan keberkahan, usah lalai leka hingga tidak berbuat apa-apa, rugi serugi-ruginya seandainya Ramadan yang datang ini tidak disantuni dengan amal ibadah sebanyak-banyaknya kepada Allah S.W.T.

Mahu tergolong dari golongan untung atau rugi, itu terserah kepada kita. Namun sebagai, insan yang beriman, sudah tentunya kita akan merebut sebanyak-banyaknya  ganjaran yang akan Allah S.W.T berikan kepada kita.

Bulan Ramadan bukan bulan untuk berehat-rehat, bukan untuk bermalas-malas dan bukan untuk beralasan tidak berbuat apa-apa kerja. Sudah pastinya, yang punya kerja, akan tetap dengan kerjayanya, biar pun berpuasa, yang punya bisnis pun begitu dan seumpamanya.

Kerja tetap kerja, berpuasa tetap berpuasa, ya kecuali ada insan-insan yang tertentu, diizinkan oleh syariat untuk tidak berpuasa. Justeru apa yang penting hasil dari ibadah puasa yang kita kerjakan, akan menghasilkan nilai ketaqwaaan kepada Allah S.W.T.

Maksud Firman Allah S.W.T;

“Wahai orang-orang yang beriman,di wajibkan keatas kamu berpuasa sebagaimana yang telah diwajibkan atas ummat sebelum kamu supaya kamu bertaqwa.”
(Al-Baqarah:183)

Meriahkan Malam Moreh Puisi Dinihari Ke-9

Sehari sebelum kita menunaikan ibadah puasa tempohari, seperti biasa, aku akan menghantar pesanan ringkas melalui aplikasi whattsupp kepada rakan-rakan bagi mengucapkan salan Ramadan kepada mereka, tak terkecuali kepada penyair tersohor tanahair iaitu Pak Agi, lama benar aku tak bertemunya, hampir setahun, namun sesekali bertanya khabar melalui sms sahaja.

Alhamdulillah Pak Agi sihat, beliau telah menghantar gambar banner berkaitan puisi moreh dinihari, baru aku teringat tentang program tersebut. Aku hanya pernah menghadiri program tersebut pada tahun lepas, itu pun, sebab aku kerja sif pagi, andai aku kerja sif petang, kemungkinan, sukar untuk aku menghadiri waktu itu.

Kini, ia muncul lagi, banner tersebut memaparkan tiga orang tokoh penyair di tanah air yang bakal muncul di pentas puisi moreh dinihari, antaranya, Zam Ismail, pemenang penulisan sea 2015, Dato A.Rahman Hassan, dan Dr. Malim Ghozali PK.

Program tersebut seperti biasa akan diadakan di rumah Dr.Ibrahim Ghafar, di Sanggar Damai Abadi, Jalan Iskandar, Kampung Bukit Kapar. Memang setiap tahun, minggu kedua jumaat, bulan Ramadan, program tersebut diadakan.

Wah, seronok juga kalau dapat hadir pada malam tersebut. Jika mahu melihat para penyair tanah air, insya’Allah, pada malam tersebut akan boleh bertemu mereka. Mereka akan berpuisi, bergurindam, bernyanyi dan macam-macam ada. Paling seronok, sebelum itu, berbuka puasa bersama, itu pengisian yang pertama.

Solat terawih juga boleh dilaksanakan di surau di sebelahan rumah Dr.Ibrahim Ghafar. Seterusnya acara kemuncak akan dilaksanakan selesai solat terawih. Kepada sahabat-sahabat, dijemput meraikan malam tersebut.

Insya’Allah, aku, jika tiada aral melintang juga akan turut hadir untuk menikmati bacaan puisi dari otai-otai penyair tanah air. Aku menantikan puisi dari Pak Agi dengan puisi TRI-V AGInya, juga dari penyair lain yang tidak kurang hebatnya.

Paling seronok, ada jualan buku, kalau tahun lepas ada, takkan tahun ini tak ada pula ya, harap-harap ada jualan buku dari ITBM. Apa pun ini hanya perancangan, hanya Allah S.W.T yang menentukkan akhirnya nanti.

Harapanku, semoga Allah S.W.T, mengizinkan aku untuk turut sama-sama memeriahkan program tersebut
 
Amin Ya Rabb…!



Comments

Popular posts from this blog

Syair: Perpaduan

Pantun Perpaduan

Sajak: Perpaduan Sejati Bukan Mimpi